Program ‘Lajutah Kitar Semula’

Program ‘Lajutah Kitar Semula’ telah diadakan secara digital oleh Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Kampong Pandan (DBP) pada 19hb Mac 2022 sempena Hari Kitar Semula Antarabangsa. Program tersebut telah dihadiri oleh 24 orang peserta yang terdiri daripada orang ramai, ahli Green Brunei dan pegawai-pegawai Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Kampong Pandan. Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash’ari.

Tujuan utama program ini adalah untuk memperingati kepentingan kitar semula untuk mendidik dan meningkatkan lagi ilmu secara lebih mendalam, dan memupuk kesedaran terutamanya di dalam kehidupan seharian kita.

Program ini dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yg diketuai oleh Awg Mohamad Mu’iz Wafiy bin Mohamdih dari Green Brunei. Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil Dewan Bahasa dan Pustaka, Siti Batrisyia Cheman binti Mohd Suhaili. Di dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyatakan bahawa tujuan utama program tersebut diadakan adalah bagi meningkatkan lagi kesedaran mengenai kitar semula di Negara Brunei Darussalam kerana kebanyakan penduduk negara ini masih belum memahami atau mengetahui proses mengitar semula. 

Program kemudian diteruskan dengan pembentangan dari Siti Rabiatul Asyikin binti Mohd Said dari Green Brunei untuk mengongsikan maklumat yang lebih mendalam mengenai hal-hal pengumpulan barangan kitar semula terutamanya kertas dan tin aluminium dengan menggunakan langkah-langkah yang betul serta cara-cara kitar semula dapat diterapkan di rumah dan di tempat kerja. Ini diikuti dengan sesi kuiz. 

Ahli Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka berharap individu-individu yang mengikuti program ini dapat memperoleh ilmu baru dan kefahaman tentang kitar semula, selain itu dapat mewujudkan komuniti yang kolektif dan prihatin terhadap alam sekitar.