Belia pemimpin masa depan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Golongan belia selaku pemimpin masa akan datang bukan sahaja perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang berguna tetapi mereka juga harus mengambil langkah aktif dalam mempromosikan pembangunan mapan serta memahami peluang-peluang yang wujud dalam pemulihan sumber asli dan menangani isu-isu penting semasa.

Isu-isu penting itu termasuk menyediakan peluang pekerjaan, membangunkan ekonomi, mempromosikan pembangunan mapan dan meningkatkan kehidupan masyarakat, di mana bagi menanganinya memerlukan belia yang bermaklumat serta mempunyai kemahiran kepimpinan yang tinggi supaya mereka mampu menyumbang kepada perubahan positif dalam komuniti masing-masing.

Dalam hubungan itu, penganjuran Seminar Belia Nadi Borneo merupakan satu kaedah yang berkesan bagi membantu menjana kefahaman mengenai Nadi Borneo dalam kalangan golongan belia dan pada masa yang sama mengenal pasti bidang-bidang ekonomi yang berpotensi dikembangkan dalam Nadi Borneo.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengasas Bersama dan Pengarah Pendekatan Komuniti Green Brunei, Dayang Khairunnisa Ash’ari semasa Perasmian Seminar Belia Nadi Borneo yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir pada perasmian seminar berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Awang Wardi yang menghadiri perasmian Seminar Belia Nadi Borneo.

Sesi Forum bertajuk ‘Empowering Youth in the Heart of Borneo: How Can Youth Take Action.’

Seminar tiga hari itu, disertai seramai 31 orang peserta yang terdiri daripada golongan belia Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia di mana mereka membincangkan mengenai cabaran, peluang dan mempromosikan pembangunan mapan dalam Nadi Borneo dengan menggunakan idea mereka tersendiri.

Dayang Khairunnisa juga berkata bahawa golongan belia memainkan peranan penting dalam pemuliharaan sumber asli yang mana dengan pertumbuhan penduduk dan permintaan pembangunan yang meningkat, amat penting bagi belia untuk memahami mengenai pembangunan mapan supaya dapat memastikan bahawa generasi akan datang juga akan dapat menikmati kekayaan sumber asli itu.

Pada masa yang sama, ulasnya lagi, amat berguna bagi belia untuk mengenal pasti peluang-peluang ekonomi dalam Nadi Borneo kerana ia mampu membantu untuk menangani isu yang dihadapi serantau iaitu pengangguran belia.

Semasa seminar itu, ucaptama telah disampaikan oleh Ketua Inisiatif Nadi Borneo, WWF Malaysia dan WWF Indonesia, Dr Henry Chan dengan tajuknya ‘Peranan Nadi Borneo dalam Menangani Perubahan Iklim: Peluang-peluang dan Cabaran-cabaran’, di mana beliau memberikan penerangan mengenai inisiatif penubuhan Nadi Borneo serta peranannya dalam menangani perubahan iklim.

Selain itu, sesi forum bertajuk ‘Empowering Youth in the Heart of Borneo’ turut diadakan yang mengetengahkan barisan ahli panel termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Nadi Borneo, Mahmud Yussof, Dr Henry Chan, Naib Presiden BruWILD dan Ketua Bahagian Botani, Fahim Ibrahim dan Pengurus Ladang Food Jungle, Jeffery Ong bersama moderator bagi sesi forum, Dayang Khairunnisa.

Semasa seminar itu, para peserta akan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan termasuk perbincangan berkumpulan, pembentangan projek, membersihkan pantai, lawatan ke Pusat Biodiversiti Tropika di Sungai Liang, Pusat Biodiversiti Marin di Meragang, Eko Kampung Cuisine di Lamunin dan Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer.

Source: Media Permata