Seminar Nadi Borneo labuh tirai

BANDAR SERI BEGAWAN – Seminar belia mengenai Nadi Borneo yang berlangsung selama tiga hari, telah berakhir dengan pengumpulan idea dan juga penyerahan sijil penyertaan yang berlangsung di Galeri Seni dan Kebudayaan Kampong Ayer.

Seramai 29 belia telah menyertai seminar itu terdiri daripada belia dari Brunei Darussalam, Indonesia dan juga Malaysia.

Belia-belia ini juga baru sahaja ikut serta dalam satu acara yang memfokuskan untuk meningkatkan kefahaman mereka tentang inisiatif Nadi Borneo dan juga memberikan kuasa kepada mereka sebagai ketua dalam penggerak generasi seterusnya dalam mempromosikan perkembangan mapan. Sebanyak enam idea projek telah dikemukakan oleh setiap kumpulan yang mana idea-idea itu merangkumi ‘Eco Camp’, Penswastaan Pusat Biodiversiti Meragang dan juga ‘The Green Elixir’.

Kepelbagaian aktiviti

Sepanjang tiga hari seminar itu dijalankan, pelbagai jenis aktiviti telah diungkayakan. Antaranya, para belia turut serta dalam pembentangan forum yang bertajuk, ‘Empowering Youth in The Heart of Borneo : How can youth take action’. Forum tersebut telah disampaikan oleh Dr Henry Chan, Ketua Inisiatif Nadi Borneo, WWF Malaysia dan WWF Indonesia, Mahmud Yussof, CEO Pusat Nadi Borneo Brunei Darussalam, Fahim Ibrahim, Timbalan Presiden BruWild dan Jeffrey Ong, Farm Manager of The Food Jungle.

Seramai 29 belia turut serta dalam seminar mengenai Nadi Borneo baru-baru ini.

Aktiviti membersihkan pantai oleh belia-belia yang ikut serta dalam seminar tersebut.

Forum tersebut diteruskan lagi dengan penerangan daripada Dayang Khairunisa Ash’ari, Pengasas bersama dan Pengarah hala tuju ‘Green Brunei’ tentang perubahan cuaca dan bagaimana untuk mengekalkannya.

Para peserta juga mengadakan sesi perbahasan yang membincangkan tentang manfaat daripada ekopelancongan.

Pada hari kedua pula, para peserta berpeluang untuk melawat Pusat Topikal Biodiversiti (The Tropical Biodiversity Centre) dan para belia diberikan penerangan tentang kepelbagaian jenis hutan hujan yang terdapat di Brunei Darussalam malah para beliau turut berpeluang untuk menerokai pelbagai jenis dan khasiat tumbuh-tumbuhan selama 30 minit.

Kemudian para belia membuat lawatan ke Kampung Lamunin untuk menikmati pelbagai jenis hidangan masakan kampung.

Aktiviti hari tersebut diakhiri dengan membuat lawatan ke Pusat Biodiversiti Hidupan Laut di mana para peserta belajar tentang kepentingan diversiti hidupan laut termasuk penyu dan seterusnya menjalankan aktiviti membersihkan kawasan pantai.

Source: Media Permata