BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb โ Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat, Bank Standard Chartered (SCB) dengan kerjasama Green Brunei telah mengadakan aktiviti menanam sebanyak 100 anak pokok di Taman Rekreasi Hutan Simpanan Berakas, pagi tadi.
Aktiviti yang telah mengumpulkan lebih 40 orang terdiri daripada ahli-ahli Green Brunei, warga SCB dan juga Jabatan Perhutanan itu juga disertai sama oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Ashโari selaku Pengasas Bersama dan Pengarah Penglibatan Komuniti Green Brunei serta Pemangku Pengarah Jabatan Perhutanan, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim.
Yang Berhormat Dayang Khairunnisa semasa ditemui pihak Media Permata, berkata, aktiviti seumpama itu dihasratkan akan dapat memberikan pendedahan khususnya kepada para belia dalam sama-sama menjaga dan menghargai alam sekitar serta mengharapkan lebih ramai para belia melibatkan diri secara sukarela dalam hal-hal seumpamanya.
Katanya lagi, bagi Projek Green Brunei seterusnya, persatuan itu sedang merancang untuk mengadakan lagi Perkhemahan Kepimpinan Hijau dan Remarkable Green Race kali ke-3.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat, Jenama & Pemasaran SCB, Marilyn Graeme, berkata, SCB begitu gembira kerana dapat bekerjasama dan menyokong inisiatif Green Brunei dalam sama-sama berganding bahu membantu memulihara alam sekitar.
โKami menyedari bahawa banyak pasaran kita adalah di antara yang terjejas oleh perubahan iklim dan sudah pun berdepan dengan cabaran cuaca ekstrem alam sekitar seperti pencemaran udara dan air, kekurangan air dan perubahan cuaca. Inisiatif seumpama ini menunjukkan komitmen kami kepada pemasaran yang kami kendalikan.โ
SCB dalam kenyataannya juga menjelaskan, salah satu tumpuan kemapanannya adalah mengenai pemuliharaan alam sekitar dan ia juga sangat komited dalam menunjukkan hasrat kepimpinan mengenai isu-isu alam sekitar dan menjadi pemangkin dalam meningkatkan usaha menangani perubahan iklim untuk membina perniagaan yang mapan lagi berprestasi tinggi.
Di samping itu juga, SCB turut komited untuk terus mendidik dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan dalaman dan luaran, untuk merangsang perubahan tingkah laku yang positif dalam melindungi alam sekitar melalui pelbagai program.
Source: Media Permata