Memupuk tanggungjawab untuk kitar semula

SEBERAPA pedulikah kita dengan alam persekitaran? Apa yang kita lakukan ketika melihat sampah di merata tempat? Adakah kita akan membantu membuangnya atau kita abaikan sahaja? Dan apa yang paling penting lagi adakah kita rajin untuk mengitar semula barangan tersebut?

Ya, barangan bekas sebagai contoh tin minuman kosong, kertas, botol dan barang yang boleh di kitar semula.

Tidak semua mengerti akan faedah dan kebaikan untuk kita mengapplikasikan tabiat kitar semula di dalam kehidupan kita sehari-hari. Bukan sahaja ianya boleh menjadikan persekitaran yang lebih sihat dan selesa, namun juga memupuk diri seseorang itu untuk lebih bertanggungjawab dalam memeduli persekitaran sekeliling dengan menjadi seseorang yang tidak camah mata. Apa yang sebenarnya menghalang seseorang itu untuk mengamalkan tabiat kitar semula di dalam kehidupan mereka terutama sekali para generasi belia kita?

Walau sudah tersedia tempat pembuangan sampah berkonsepkan mesra alam sekitar dengan label-label yang di lampirkan seperti khusus buat kertas, tin, botol dan lain-lain lagi, namun tidak semua dapat meluangkan masa mereka untuk membuang sampah tersebut di tempat-tempat yang disediakan.

Apakah dia permasalahannya?

Dk Nurul Nadzirah Pg Ali Rahman, seorang guru di salah sebuah sekolah kerajaan di Negara Brunei Darussalam ini berkongsi dengan The Brunei Times mengenai permasalahan yang membelenggu masyarakat yang enggan mengamalkan tabiat kitar semula ini.

“Salah satunya adalah masa. Terkadang masyarakat tidak begitu peduli untuk membuang sampah di tempat pembuangan sampah yang berkonsepkan mesra alam ini namun mereka lebih cenderung untuk membuangnya di tong sampah yang biasa, ini kerana boleh menjimatkan masa dari sibuk untuk mencari tong sampah khas buat kitar semula,” jelas Dk Nurul Nadzirah. Guru yang mengajar mata pelajaran Geografi itu juga menerangkan bahawa pada masa kini, konsep kitar semula ini memang kurang diterapkan dalam diri masyarakat kerana masyarakat pada hari ini lebih mengamalkan sikap tidak menghiraukan alam sekitar.

“Antara halangan utama yang menyebabkan amalan kitar semula ini tidak mendapat sambutan ialah sikap individu dimana terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan amalan kitar semula ini. Kebanyakan barangan yang boleh dikitar semula dibuang dan dibakar begitu sahaja,” terang guru itu lagi.

Manakala menurut presiden salah satu pertubuhan bukan kerajaaan, Green Brunei, Khairunnisa Ash’ari memberitahu bahawa “Selain daripada itu kurangnya pengetahuan di kalangan masyarakat pada masa kini yang membuang bahan kitar semula kerana mereka tidak sedar betapa pentingnya amalan kitar semula. Mereka ini juga mungkin tidak mengetahui akan impak dari amalan kitar semula tersebut dan juga kepentingan jika seseorang melakukannya.”

“Mungkin juga, diantara punca yang menghalang seseorang itu untuk mengamalkan tabiat kitar semula ialah kerana kurangnya pusat pengumpulan bahan kitar semula yang ada di negara ini,” jelas guru yang berusia 31 tahun, Dk Nadzirah. Beliau menambah, “Selain daripada itu, terdapat juga masyarakat yang tidak memberikan kerjasama apabila kempen kitar semula ini dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan yang lain. Sikap tidak ambil peduli tentang amalan kitar semula ini menyebabkan usaha kerajaan mahupun persatuan lain untuk menjimatkan tenaga dan bahan kitar semula tidak akan dapat terlaksana.”

Kitar semula: Jangan dipandang sebelah mata

Seorang pelajar yang menuntut di Sekolah Menengah Masin, Md Zulfakhri Hj Md Said sudah mula mengetahui akan kepentingan tabiat kitar semula ini apabila beliau menjadi sukarelawan di salah satu persatuan di Brunei (Society for Community Outreach and Training — SCOT) Universiti Brunei Darussalam (UBD) dari tahun 2014.

“Dengan mengikuti aktiviti yang berkaitan dengan alam persekitaran, kitar semula, sedikit sebanyak membantu saya untuk belajar dengan lebih dalam lagi tentang kebaikannya. Kitar semula mempunyai kepentingan yang tersendiri. Di antara kepentingan kitar semula ialah untuk memelihara ruang hidup kita,” jelas pelajar yang berusia 16 tahun ini.

Siti Nadhirah Abdul Wahab pula mengongsikan bahawa, “Persekitaran yang lebih sihat dan selesa itu juga diperolehi dengan mengamalkan kitar semula. Sampah yang banyak akan menjejaskan kesihatan manusia dan kebersihan persekitaran.”

Pelajar Tahun 11 di Sekolah Menengah Berakas ini menambah, “Kitar semula ini juga dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada menular dengan cepat.

“Apa yang penting sekali ialah dengan amalan kitar semula ini ianya boleh memberikan manfaat kepada golongan yang berpendapatan rendah untuk menambahkan sumber rezeki, yang mana mereka ini akan digalakkan untuk mengumpulkan bahan-bahan kitar semula dan menjualnya,” jelas Nadhirah.

Zulfakhri juga menekankan bahawa tabiat kitar semula ini juga boleh menjadikan seorang pelajar itu lebih bertanggungjawab dan juga menjadikannya sebagai satu inisiatif untuk menghasilkan produk kreatif melalui bahan kitar semula.

Salah satu perniagaan online yang menggunakan barangan kitar semula ialah Charis Decoupage yang mana pemilik perniagaan tersebut iaitu Ann Lee menggunakan barangan bekas kitar semula seperti botol, tin kosong untuk menghasilkan produk yang unik.

Pelbagai barangan kreatif yang di hasilkan dari tangan beliau sendiri seperti bag, aksesori yang di hiasi dengan kertas-kertas decoupage yang mana barangan tersebut akan di jual kepada orang ramai.

Pupuk tabiat kitar semula sedari awal

Persatuan Green Brunei yang bertujuan untuk menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui inisiatif para belia yang diterajui dalam bidang pendidikan, pemuliharaan dan sokongan ini memainkan peranan mereka dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang impak dan kepentingan dari amalan kitar semula.

Green Brunei juga mengadakan pelbagai program yang menekankan tentang kepentingan kitar semula dengan sekolah-sekolah yang ada di Brunei Darussalam melalui aktiviti perkhemahan mahupun juga melalui jerayawara dan taklimat.

Khairunnisa Ash’ari menerangkan bahawa kitar semula merupakan tabiat sepanjang hayat dan oleh itu perlunya galakan dan dorongan sepanjang tahun sedari pelajar itu menuntut di sekolah rendah supaya ianya secara perlahan-lahan boleh menjadikan kitar semula itu satu amalan yang dapat dilakukan di kehidupan sehari-hari. “Sebagai contoh apabila seorang pelajar itu kerap melihat keluarga mereka mahupun guru mereka melakukan amalan kitar semula di kehidupan hari-hari, dengan itu para pelajar itu akan dapat menerima amalan kitar semula itu sebagai tabiat yang normal untuk dilakukan,” jelas Khairunnisa. Khairunnisa juga menambah dengan adanya program seperti perkhemahan mahupun jerayawara, taklimat dan juga pertandingan mengenai alam sekitar sedikit sebanyak dapat mendorong masyarakat dan khususnya para pelajar untuk mengamalkan kitar semula dan juga pentingnya menyediakan tempat pembuangan sampah mesra alam yang dikhaskan.

Bagi memastikan amalan kitar semula ini dijalankan, beberapa langkah dapat di lakukan bagi memastikan amalan tersebut dapat dilaksanakan dengan baik. Langkah-langkah tersebut adalah seperti mengadakan kempen bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan pendidik juga memainkan peranan penting dalam memberikan galakan kepada pelajar untuk melaksanakan amalan kitar semula.

Dengan memberikan pendekatan yang menarik kepada pelajar dan masyarakat, pendidik akan dapat memupuk minat pelajar dan masyarakat untuk mencintai alam sekitar.

Source: The Brunei Times